Sunday, 1 April 2012

Faktor-Faktor Kejatuhan Empayar Turki Uthmaniyah

Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Antara faktor yang membawa kejatuhan empayar ini adalah disebabkan beberapa aspek iaitu politik, ekonomi, sosial dan pengaruh luar yang meresap masuk dalam kerajaan. Justeru kelemahan-kelemahan ini telah mendorong kepada keruntuhan empayar Turki Uthmaniyah.

1. Politik

Faktor politik merupakan perkara pokok yang menyebabkan empayar Turki Uthmaniyah mengalami kemerosotan. Faktor politik ini termasuk kelemahan kepimpinan, pentadbiran dan pemerintahan yang tidak teratur serta ketenteraan yang lemah. Hal ini merupakan pendorong ke arah kehancuran empayar Turki Uthmaniyah.

Setelah kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni empayar Turki mula memperlihatkan kejatuhan dan kemunduran. Hal ini adalah lantaran daripada kelemahan sultan, baik dalam keperibadian serta yang paling utama dalam kepimpinannya. Kelemahan ini dapat dibuktikan dengan sikap sultan itu sendiri yang mementingkan hiburan dan kesenian sehingga menyebabkan kerosakkan moral. Contohnya, Sultan Murad III telah dikuasai oleh nafsu sepanjang pemerintahan sehingga mempunyai 118 orang anak. Di samping itu, Sultan Ibrahim membunuh 100 000 orang dan menyaksikan sendiri pembunuhan 25 000 orang daripadanya. Kehidupan sultan yang hidup bermewah-mewah akhirnya mendorong perlakuan tidak bermoral yang telah membawa kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.

Umum mengetahui bahawa Turki Uthmaniyah mempunyai pemimpin silih berganti. Namun, tidak dinafikan bahawa keadaan ini telah menyumbang kepada kejatuhan Turki Uthmaniyah kerana masalah perebutan takhta dalam kalangan pembesar dan pemerintah. Sistem syura tidak diamalkan dan pemilihan pemimpin kebiasaannya adalah berdasarkan kekuatan. Keadaan ini telah mendorong ke arah peperangan antara putera-putera raja yang menyebabkan ketidakstabilan politik dan kepimpinan yang menurun. Kelemahan kepimpinan ini menyebabkan kerajaan dikuasai oleh anggota-anggota harem atau kelompok tertentu dalam istana. Kelemahan dalam pentadbiran dan pemerintahan ini telah ditunjukkan dalam pemerintahan selepas kemangkatan Sulaiman Al-Qanuni dan mengakibatkan keruntuhan empayar Turki Uthmaniyah. Hal ini dapat dilihat semasa pemerintahan Ibrahim dipengaruhi oleh Bonda dan tiga orang isterinya yang masuk campur dalam pemerintahan untuk menyingkirkan Wazir Agung Kara Mustafa. Keadaan ini membawa kepada kejatuhan Turki Uthmaniyah.

Pertahanan merupakan aspek terpenting dalam politik sesebuah negara. Oleh itu, kelemahan dalam sistem ketenteraan merupakan penyumbang kepada kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah. Kemerosotan ini bermula dengan kelemahan disiplin ketenteraan dalam kalangan pegawai atasan. Hal ini disebabkan oleh pertandingan ketenteraan yang sebenarnya telah ditinggalkan yang menyebabkan putera-putera raja yang berpontensi telah disisihkan dan memilih putera sulung kerana perkara ini memberi kebebasan kepada para pegawai. Hal ini dapat dibuktikan dengan perlantikan Bayezid 1 dan Salim II dipilh bukan berdasarkan kemampuan yang unggul. Di samping itu kelemahan ketenteraan juga dapat dilihat melalui penghapusan aristokrasi tentera lama yang menjadi saingan kepada kuasa kerajaan. Penghapusan ini menyebabkan sistem tentera hamba mejadi terbatas kerana seksyen ketenteraan yang dominan dalam angkatan tentera telah membenarkan anak-anak pegawai mendapat pangkat, lantas menghapuskan asas disiplin dalam tentera. Jelaslah bahawa faktor politik yang akhirnya telah membawa kepada kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.

2. Ekonomi

Kelemahan dalam tadbir urus ekonomi merupakan punca kepada tercetusnya kemerosotan dalam kerajaan Turki Uthmaniyah. Kelemahan adalah disebabkan perlantikan jawatan yang bukan didasari oleh kebolehan. Hal ini dibuktikan melalui jawatan memungut cukai diberikan kepada sesiapa sahaja yang berikrar untuk memberi sumbangan kutipan yang besar kepada perbendaharaan negara. Keadaan ini bertambah buruk apabila kadar cukai yang tinggi dikenakan membebankan rakyat. Kelemahan ini mendorong kepada kemerosotan Turki Uthmaniyah.

Perdagangan yang lembab menyebabkan kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Kegiatan perdagangan merupakan suntikan dalam membangunkan ekonomi Turki Uthmaniyah. Kelemahan ini disebabkan oleh saingan dengan negara Eropah yang semakin maju dalam bidang perdagangan. Hal ini dapat dibuktikan pada abad ke-16, Turki Uthmaniyah bersaing dengan Portugis untuk menguasai jalan perdagangan di perairan India. Dalam pada itu, sistem kapitalisme yang diperkenalkan di Eropah menyebabkan revolusi perindustrian muncul dan menenggelamkan industri tradisional masyarakat Turki. Selain itu, kemunduran dalam ekonomi Tuki adalah akibat berlaku peperangan yang tidak pernah berhenti. Pendapatan yang semakin berkurang dan dibebankan dengan belanja negara yang semakin besar termasuk perbelanjaan perang mendorong kepada kemelesetan ekonomi Turki Uthmaniyah. Kesannya, kegemilangan Turki dari aspek ekonomi semakin suram dan menuju kejatuhan.

3. Sosial

Masalah sosial seperti pemberontakan, ajaran Islam telah diselewengkan dan rasuah telah menyebabkan berlakunya kejatuhan Turki Uthmaniyah. Pemberontakan merupakan faktor terpenting dalam kejatuhan empayar yang terbilang ini kerana tiada lagi penyatuan antara golongan pemerintah dan rakyat jelata. Keadaan dapat dilihat apabila berlaku pemberontakan dalam kalangan puak Kurdish, puak Druze di Syiria, tuan-tuan tanah tentera di Anatolia dan Janissari di ibu kota yang ingkar dan suka memberontak telah mengganggu tumpuan tentera empayar menentang Austria, Poland dan Safavi. Pemberontakan ini mencetuskan masalah dalaman yang teruk sehingga membawa kepad kejatuhan Turki Uthmaniyah.

Gejala rasuah yang semakin berleluasa merupakan faktor kritikal yang menyumbang kepada kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Rasuah telah menyerap dalam kalangan pegawai atasan menyebabkan pentadbiran menjadi lumpuh disebabkan pemimpin yang tamak haloba. Hal ini dapat dibuktikan apabila Sulaiman sendiri meminta hadiah daripada orang yang hendak dilantiknya pada waktu perlantikan dan mereka perlu juga berbuat demikian pada peringkat bawahan untuk menampung kos tersebut. Gejala rasuah ini telah menimbulkan kekacauan dalam pemerintahan dan melemahkan kedudukan kerajaan khususnya semasa pemerintahan Sultan Mustafa IV kerana bebanan cukai yang tinggi untuk memperkayakan individu yang dilantik untuk mengutip cukai dan memberi hadiah kepada pembesar yang membantunya memperoleh jawatan berkenaan. Oleh itu, rasuah merupakan faktor yang mendorong kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah.

Keruntuhan akhlak dan kurang penghayatan Islam sedikit sebanyak mempengaruhi kejatuhan empayar agung ini. Ajaran Islam telah dicemari dengan ajaran khurafat, tahayyul, amalan tasawuf yang melampaui batas tanpa menghiraukan tugas wajib iaitu untuk berjihad dan menegakkan amar makruf serta mencegah yang mungkar. Di samping itu, golongan istana juga terlibat dalam krisis moral dengan adanya pesta yang dilengkapi dengan minuman keras, dendangan musik dan para dayang yang menghiburkan para pembesar negara. Jelaslah bahawa permasalahan sosial yang berlaku telah menyebabkan kejatuhan emapayar Turki Uthmaniyah.

4. Pengaruh Luar

Kebangkitan kekuatan Eropah telah menjadi faktor kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Kemajuan dari aspek ilmu pengetahuan yang telah dicapai oleh Eropah telah mendorong perluasaan kuasa atau imperialisme Barat berlaku. Gerakan-gerakan renaisans melahirkan perubahan-perubahan yang besar dalam sejarah dunia iaitu kebangkitan Eropah dan kemunduran kerajaan Islam di empayar Turki Uthmaniyah. Hal ini telah melumpuhkan Turki Uthmaniyah akibat daripada saingan kuasa-kuasa Eropah.
Peperangan demi peperangan dengan kekuasaan Eropah telah memperlihatkan kekalahan kerajaan Turki Uthmaniyah. Hal ini dapat dilihat melalui peperangan dengan Austria sekitar tahun 1682-1689 yang menyebabkan kerugian yang besar bagi Turki Uthmaniyah. Penyatuan bangsa Eropah untuk menentang Turki telah menawan Hungary, kota Budapest, wilayah Transilvania dan beberapa wilayah yang melemahkan pertahanan Turki Uthmaniyah. Kejatuhan Turki Uthamniyah semakin terserlah akibat kekalahan dalam peperangan. Penyatuan Prince Eugene of Savoy dengan tentera Austria telah mengalahkan Turki dalam Peperangan Petewarden pada tahun 1716. Kekalahan ini merupakan faktor kejatuhan Turki Uthmaniyah.

Selain itu, siri perjanjian dengan negara Eropah yang akhirnya membawa kepada kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah. Perdamaian melalui perjanjian menyebabkan Turki semakin lemah yang akhirnya membawa kemerosotan. Hal ini dapat dibuktikan melalui Perdamaian Passarowit yang ditandatangani pada Julai 1718 menyebabkan Turki kehilangan Timsuar, Belgrad, sebahagian besar negeri Serbia dan negeri Rumania. Perjanjian Radsin telah ditandatangani selepas kekalahan Turki kepada Russia dan menyebabkan sultan Turki terpaksa menyerahkan Ukraine kepada Russia dan membuka perniagaan kepada bangsa Cossack di Laut Hitam setelah mengusainya selama beberapa abad. Jelaslah pengaruh luaran merupakan punca kepada kejatuhan kerajaan Turki Uthmaniyah terutamanya kebangkitan semula Eropah selepas berlakunya zaman gelap.

1 comment:

  1. baru sekarang saya tahu faktor2 kejatuhan kerajaan uthmaniah

    ReplyDelete