Sunday 1 April 2012

Kesan Terhadap Negara-Negara Islam


Kejatuhan Turki Uthmaniyah secara tidak langsung telah memberi kesan kepada negara-negara Islam dalam aspek politik, ekonomi dan sosial. Hal ini merupakan petunjuk kepada pengakhiran kegemilangan kerajaan Islam yang dahulunya telah berkembang pesat. Rentetan kejatuhan ini menyerlah ketika Mustafa Kamal Antartuk mengisytiharkan Turki sebagai negara republik.

1. Politik

Kejatuhan Turki Uthamniyah telah memberi kesan kepada negara Islam yang lain dari aspek politik. Antaranya ialah kehilangan institusi khilafah dalam kerajaan Islam dan perpecahan negara-negara Islam di bawah satu pemerintahan. Hal ini telah memberi kesan yang buruk dalam politik negara Islam. Apabila kejatuhan Turki Uthmaniyah, setelah bertukar menjadi negara republik menyebabkan institusi khalifah telah hilang dan membawa kesan yang buruk kepada suasana politik negara Islam. Hal ini bermula selepas Mustafa Kamal menggantikan Kesultanan Uthmaniyah dan menjadi Pemoden Turki muda dan membawa perubahan dalam sistem politik Turki. Negara Islam turut mendapat kesannya kepada negara Iran di bawah pemerintahan Reza Shah yang memperkenalkan sebuah parti sahaja, sama dengan Parti Republikan Rakyat Antartuk. Pembaharuan ini telah melenyapkan sistem pemerintahan Khalifah di negara-negara Islam.

Kesan yang jelas kelihatan adalah perpecahan wilayah umat Islam yang dulunya di bawah pemerintahan Turki Uthamaniyah. Kelemahan Turki menyebabkan negara di bawah naungannya telah membebaskan diri dan di takluk oleh pihak Eropah. Pemberontakan oleh negara seperti Montenegro, Bosnia, Balkan, Prins Milaan, Serbia, Herzegovina dan di tempat-tempat lain membebaskan diri menyebabkan perpecahan negara umat Islam. Hal ini dibuktikan lagi dengan perpecahan wilayah Turki Uthamaniyah. Raja Husein hanya dapat menguasai tidak lebih dari bumi Hijaz. Raja Faizal pula yang telah berusaha memerdekakan bumi Syam dari kuasa Turki. Jelaslah bahawa kejatuhan Turki memberi implikasi kepada negara-negara Islam yang lain.

2. Ekonomi

Ekonomi negara-negara Islam turut mendapat kesan akibat daripada kejatuhan empayar Turki Uthmaniyah. Kemerosotan ekonomi Turki akibat perang kerana negara terpaksa membuat perbelanjaan yang besar untuk biaya perang. Hal ini telah menyebabkan negara Islam yang dahulunya di bawah pengaruh seperti Timur Tengah dan Afrika Utara mengalami kemerosotan ekonomi. Negara Islam semakin teruk terjejas ekonominya apabila selepas tamat Perang Dunia 1 kerana dengan persetujuan Sykes-Picot 1916 wilayah Turki Uthmaniyah telah dibahagikan kepada Perancis, Inggeris, Russia dan Itali. Hal ini menyebabkan ekonomi negara Islam yang dibahagikan telah terjejas akibat daripada penguasaan orang Eropah.

Perdagangan negara Islam semakin merosot kerana masyarakat Eropah telah menguasai perdagangan di Laut Hindi, Laut Mediternean, Terusan Suez dan jalan perdagangan yang lain. Hal ini telah menyebabkan Eropah semakin mengusai ekonomi negara Islam. Contohnya, Perancis dan Inggeris telah mengawal syarikat Terusan Suez dan orang Yahudi di Mesir memiliki hampir seluruh gedung besar perniagaan dan banyak melibatkan diri dalam pasaran saham. Selain itu, penguasaan Soviet Union yang menguasai sekitar satu pertiga daripada jumlah perniagaan asing Iran. Penguasaan ekonomi oleh masyarakat Eropah di negara Islam telah melemahkan ekonomi negara Islam.

3. Sosial

Kesan yang paling ketara yang menimpa negara Islam adalah aspek sosial akibat kejatuhan Turki Uthmaniyah. Kemerosotan tindak tanduk sosial hasil daripada kejatuhan Turki telah mempengaruhi negara Islam yang lain. Permodenan Turki telah menjadi ikutan negara Islam yang lain. Hal ini dapat dibuktikan kepercayaan sosialis Fabian Qibti Salama Musa di Iran yang berpendapat bahawa kebudayaan Barat menjadi kunci kepada reformasi sosial. Kebudayaan Barat ini telah menyebabkan keruntuhan akhlak masyarakat di negara-negara Islam. Kejatuhan Turki Uthmaniyah telah memberi kesan terhadap negara Islam dan rakyatnya yang membawa kepada perpecahan umat Islam. Contohnya, Inggeris menggalakkan pemisahan kaum Assyria dengan menubuhkan tentera khas untuk menindas kaum Kurdi dan Turki yang tinggal di utara Iraq. Jelaslah bahawa perpaduan umat Islam mula retak selepas kejatuhan Turki Uthmaniyah.

Penutup

Turki Uthmaniyah mempunyai sorotan sejarahnya yang tersendiri yang telah melalui era kegemilangan, kemerosotan yang akhirnya membawa kepada kejatuhan. Kedudukan kuasa Turki Uthmaniyah yang besar dan luas pada suatu ketika dahulu telah hilang sama sekali pada penghujung abad ke-18 dan yang tinggal hanya beberapa daerah kecil yang masih berada di bawah taklukan Sultan Turki. Pengakhiran kerajaan Turki Uthmaniyah bermula selepas Mustafa Kamal Antartuk mengisytiharkan Turki sebagai kerajaan Republik.

Sejarah telah memperlihatkan kejatuhan Turki akibat masalah dalaman dan luaran yang tidak dapat diselesaikan secara sistematik. Antara masalah tersebut adalah kelemahan Sultan Turki, pemberontakan, penyelewengan seperti rasuah, ekonomi yang tidak teratur, tentera yang lemah dan pengaruh luaran akibat daripada kebangkitan Eropah. Masalah ini telah menyebabkan kejatuhan Turki Uthmaniyah dan memberi tempias kepada negara Islam yang lain sama ada dari aspek ekonomi, sosial dan politik. Di samping itu, kejatuhan Turki sering dikaitkan dengan permasalahan pemimpinnya yang mementingkan hiburan dan keseniaan. Hal ini dibuktikan dengan kenyataan orientalis barat yang mengatakan bahawa salah satu faktor kejatuhan Turki Uthmaniyah adalah disebabkan oleh pemimpin dan sehingga rakyat golongan yang mementingkan hiburan dan keseronakkan. Oleh itu, sewajarnya keadaan ini dijadikan iktibar dan sehingga kebangkitan semula institusi Khilafah seterusnya Islam kembali terbilang.


No comments:

Post a Comment